Monday, October 29, 2007

Kemuncak Hari Program Semarak Jawi RPT Chepor



Pada 27 Oktober bermula jam 8.00 pagi telah berlangsung hari kemuncak Program Semarak Jawi anjuran Perpustakaan Masyarakat RPT Chepor (PM RPT Chepor) yang berlangsung di premis Perpustakaan Masyarakat Chepor dan Dewan Orang Ramai RPT Chepor yang terletak bersebelahan PM RPT Chepor. Pada hari tersebut telah berlangsung beberapa pertandingan seperti :

1. Pertandingan Menterjemah teks rumi ke jawi ( tahap 1 dan 2 - sekolah rendah)
2. Pertandingan Menterjemah teks rumi ke jawi ( tahap menengah)
3. Pertandingan memancing jawi ( Pra Sekolah)


4. Pertandingan menterjemah Khat (tahap menengah)
5. Pertandingan membaca teks jawi ( tahap 1 dan 2 - sekolah rendah)

Satu sudut pameran mengenai tulisan jawi juga telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Jawi .
Majlis pada hari tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari sekolah-sekolah disekitar Tasek dan Chepor seperti SK Klebang , SK Tasek Damai , SK Chepor , SMK Tasek Damai dan beberapa pra sekolah di Chepor. Begitu juga kehadiran penduduk kampung dari kawasan Chepor yang turut sama memberi sokongan kepada program yang telah dijalankan di kampung mereka. Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato' Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Ahli Parlimen Tambun). Beliau juga telah bermurah hati untuk menaja sajian makan tengahari kepada peserta dan pengunjung pada hari tersebut.
Pihak urusetia juga menyediakan sarapan pagi secara percuma kepada para peserta , guru-guru dan ibupaba yang hadir pada hari tersebut. Adalah dianggarkan lebih 300 pengunjung telah hadir pada hari program tersebut . Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan program pada hari tersebut .

SEJARAH TULISAN JAWI

Tulisan jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu yang telah wujud berabad-abad lamanya di negara kita.Tulisan jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.Tulisan jawi antara tulisan terawal yang pernah ditemui.

Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian ke zaman kerajaan Melaka, zaman Kerajaan Johor dan juga Acheh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19.

Menyingkap kembali lembaran sejarah budaya melayu zaman silam, kedatangan agama Islam ke Kepulauan Melayu selain membawa syiar agama samawi turut membawa tradisi penulisan menggunakan abjad arab yang dalam tempoh singkat telah dikuasai oleh orang-orang Melayu khususnya para ulama. Tulisan jawi telah digunakan sebagai alat persuratan dan penyampaian sumber ilmu.Tulisan jawi telah memainkan peranannya dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menyebarkan intelektualisme ke serata pelusuk dunia masyarakat yang berbahasa Melayu.