Sunday, October 28, 2007

Sekitar hari peringkat saringan pertandingan menterjemah teks rumi ke jawi - sekolah menengah



Kelihatan foto-foto sekitar hari saringan bagi Pertandingan Menterjemah Teks Rumi ke Jawi peringkat sekolah menengah yang telah diadakan di SMK Tasek Damai , Tasek Ipoh. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada gurubesar dan guru-guru SMK Tasek Damai yang telah memberikan kerjasama yang begitu memberangsangkan , disamping jamuan yang disediakan kepada urusetia Program Semarak dari Perpustakaan Desa RPT Chepor.
Pada hari tersebut seramai lebih 50 orang pelajar2 telah memasuki peringkat saringan bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir pada hari kemuncak Program Semarak Jawi pada 27 Oktober di Perpustakaan Masyarakat RPT Chepor. Seramai 20 orang pelajar peringkat Sekolah Menengah yang terdiri dari beberapa sekolah di sekitar Chepor telah dipilih dari peringkat saringan untuk mara ke peringkat akhir.

SEJARAH TULISAN JAWI

Tulisan jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu yang telah wujud berabad-abad lamanya di negara kita.Tulisan jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.Tulisan jawi antara tulisan terawal yang pernah ditemui.

Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian ke zaman kerajaan Melaka, zaman Kerajaan Johor dan juga Acheh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19.

Menyingkap kembali lembaran sejarah budaya melayu zaman silam, kedatangan agama Islam ke Kepulauan Melayu selain membawa syiar agama samawi turut membawa tradisi penulisan menggunakan abjad arab yang dalam tempoh singkat telah dikuasai oleh orang-orang Melayu khususnya para ulama. Tulisan jawi telah digunakan sebagai alat persuratan dan penyampaian sumber ilmu.Tulisan jawi telah memainkan peranannya dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menyebarkan intelektualisme ke serata pelusuk dunia masyarakat yang berbahasa Melayu.